|
|
Pendahuluan
Kanser
adalah penyakit kronik
yang boleh dihidapi oleh sesiapa saja tanpa
mengira usia dan jantina. Kanser boleh menyebabkan penderitaan ke atas
penghidapnya,
penderitaan yang dialami seringkali memberi
kesan yang sangat besar kepada diri pesakit dan juga ahli-ahli keluarga
yang lain.
Tidak semua kanser boleh diubati sepenuhnya
dan tidak semua pesakit kanser yang telah pulih akan terhindar dari
mendapat kembali
kanser yang sama. Terdapat juga di kalangan
pesakit yang menghidap lebih dari satu jenis kanser seperti kanser ovari
dan kanser
rahim. Ada
juga pesakit yang menghidap kanser payudara dan kemudiannya di dapati
pula menghidap kanser ovari. Kanser kedua
yang terjadi di organ yang lain mungkin juga disebabkan oleh kanser yang
sama telah
merebak ke organ tersebut. Bab ini akan
memperkatakan tentang penjagaan pesakit kanser yang menghadapi keadaan
di mana kanser
yang dihidapi tidak boleh disembuhkan lagi.
Bab ini juga akan menerangkan berkenaan dengan penjagaan pesakit-pesakit
kanser
yang berada pada peringkat akhir ataupun
terminal. Tidak semua ahli masyarakat mengetahui betapa pentingnya
penjagaan ke atas
pesakit-pesakit yang menghadapi masalah yang
tersebut dan tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat kaedah-kaedah
rawatan
yang boleh mengurangkan penderitaan penghidap
kanser yang berada pada peringkat akhir ini. Kita tentu banyak
menyaksikan bagaimana
ramai pesakit kanser yang terbiar dan
terlantar tanpa sebarang usaha-usaha untuk mengurangkan penderitaan
mereka dan pesakit-pesakit
ini akan meninggal dalam keadaan yang sangat
menyedihkan. Kaedah rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan
penderitaan pesakit
kanser yang berada pada peringkat akhir
ataupun yang tidak boleh disembuhkan lagi dinamakan penjagaan ataupun
rawatan paliatif.
PENJAGAAN PALIATIF
Penjagaan
paliatif bermaksud
penjagaan holistik yang merangkumi rawatan
melegakan masalah fizikal, sosial dan psikologi pesakit. Pesakit yang
dimaksudkan
di sini adalah pesakit yang menghidap
penyakit-penyakit kronik yang serius dan tidak ada peluang untuk sembuh.
Penjagaan paliatif
ini juga meliputi penyakit buah pinggang dan
lain-lain. Walau bagaimanapun penyakit yang sering dikaitkan dengan
penjagaan
paliatif ini adalah penyakit kanser.
Penjagaan paliatif telah bertapak lama di negara kita dan sehingga hari
ini terdapat
banyak pusat-pusat rawatan paliatif samada di
Hospital Kerajaan ataupun swasta. Ianya dikendalikan oleh
petugas-petugas yang
datangnya dari berbagai-bagai latar belakang
termasuk bekas-bekas pesakit sendiri. Hampir di semua hospital-hospital
besar
kerajaan mempunyai pusat rawatan paliatif.
Pusat-pusat rawatan paliatif ini akan mempunyai doktor yang bertugas,
jururawat-jururawat
dan sukarelawan-sukarelawan. Di tempat-tempat
tertentu, pusat rawatan paliatif ini dinamakan Hospis. Penjagaan paliatif merangkumi
aspek fizikal , mental (psikologi) dan juga sosial, dengan itu penjagaan
paliatif ini memerlukan penglibatan semua
pihak seperti doktor, jururawat, pekerja sosial, pakar psikiatri dan
yang paling
penting adalah penglibatan ahli-ahli keluarga
yang terdekat. Penjagaan atau rawatan paliatif ini merangkumi penjagaan
semenjak
pesakit dimasukkan ke wad di hospital
sehinggalah penjagaan pesakit di rumah . Di antara
perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat
di dalam bidang penjagaan paliatif ini adalah
:
- Rawatan melegakan kesakitan
- Rawatan melegakan gejala-gejala akibat kanser seperti perdarahan, jangkitan kuman, keluar lendiran berbau, kesukaran
bernafas, kesukaran membuang air besar dan lain-lain.
- Lawatan ke rumah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pesakit di rumah.
- Aktiviti-aktiviti sosial dan kumpulan sokongan onkologi serta aktiviti-aktiviti spiritual
- Khidmat nasihat kepada ahli-ahli keluarga yang menjaga pesakit untuk mengurangkan beban mereka.
- Setengah-setengah Pusat Rawatan Paliatif juga
memberi bantuan sokongan
memulihkan masalah fizikal seperti pemindahan
darah, mengeluarkan air dari selaput paru-paru, mengeluarkan air dari
rongga
abdomen (ascitis) dan ada juga yang
menyediakan rawatan kemoterapi.
BILAKAH PESAKIT DIKATAKAN
MENGHIDAP KANSER YANG TIDAK BOLEH DISEMBUHKAN.
Terdapat
tiga golongan besar
pesakit kanser yang dikatakan telah mencapai
peringkat di mana kanser mereka sudah tidak dapat disembuhkan lagi,
golongan
tersebut adalah :
- Pesakit-pesakit
baru yang dikesan menghidap kanser dan didapati sudah berada pada
peringkat akhir iaitu peringkat 4.
Contohnya, pesakit kanser pangkal rahim yang
didapati kansernya sudah merebak ke paru-paru, hati, tulang, otak dan
lain-lain
anggota badan.
- Pesakit yang telah menjalani rawatan tetapi kemudiannya didapati menghidap semula kanser yang sama. Pada mulanya pesakit
tersebut mungkin menghidap kanser pada peringkat
awal serta telah menjalani rawatan
lengkap dan sembuh tetapi selepas beberapa
ketika, kanser tersebut datang kembali. Untuk kali kedua ini, kanser
tersebut telah
merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain
seperti hati, paru-paru, tulang dan lain-lain. Ada juga di kalangan
pesakit ini
yang didapati telah sembuh sepenuhnya untuk
jangkamasa 2-3 tahun tetapi selepas itu didapati kanser tersebut datang
kembali.
- Golongan
ketiga adalah pesakit-pesakit kanser yang tidak dapat menjalani rawatan
disebabkan oleh masalah kesihatan
ataupun keupayaan fizikal yang sangat lemah .
Masalah-masalah fizikal yang dimaksudkan adalah seperti kegagalan buah
pinggang,
kegagalan hati, penyakit jantung yang serius
dan lain-lain. Dalam keadaan ini sebarang bentuk rawatan kanser akan
menyebabkan
komplikasi yang sangat tinggi termasuk
kematian.
|
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan