my big family...photos ni masa ayah dan bonda baru berkahwin.

my big family...photos ni masa ayah dan bonda baru berkahwin.

my big family...

my big family...

my big family...

my big family...

Ahad, 6 November 2011

Lelaki, Awasi Maruahmu

Mungkin tajuk kedengaran sedikit janggal, kerana kebiasaannya kita hanya mendengar tentang wanita yang harus menjaga maruah di hadapan lelaki. Harap bersabar dan teruskan pembacaan, moga mendapat input sebenar yang mahu dikongsi.

Kita kerap menonton drama atau filem yang berkisar tentang cinta, di mana melakonkan babak ‘tragis’ ketika si lelaki kononnya bertarung demi cintanya. Ada adegan si lelaki menjadi tunggul di hadapan pagar rumah si wanita, kemudian hujan turun membasahi dirinya yang terus hanyut dalam pujuk rayunya untuk seorang wanita. Ada juga babak si lelaki ditampar, ditengking bahkan diludah oleh seorang wanita tetapi tetap ‘cool’ demi meraih hati wanita tersebut. Begitu juga dengan banyak lagi babak yang lain dengan maksud serupa.

Semuanya mendidik otak generasi muda supaya mengiktikad bahawa itulah ‘harga’ sebuah cinta. Itulah wajah dan karekter seorang lelaki yang benar-benar mahu menawan hati seorang wanita. Itulah mahar yang perlu dibayar oleh lelaki biarpun maruahnya hanya diletak di bawah tapak kaki.


DOKTRIN KARUT

Sebagai hamba kepada Allah ta’ala, tugas kita hidup di muka bumi bukanlah untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain. Ini kita kena faham betul-betul. Kita adalah manusia yang hanya akan menjadi mulia jika kita menghambakan diri kepada Allah. Sebaliknya kehinaan yang amat besar akan menimpa kita bilamana kita menghambakan diri kepada manusia yang lain. Dan antara perhambaan yang selalu dibuat oleh manusia adalah menghambakan diri kepada orang kaya, kepada jawatan dunia dan kepada kaum wanita.

Saidina Umar Al Khattab r.a pernah menyebut satu kata-kata keramat :

” Kami adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah kerana ISLAM. Maka ketikamana kami memilih selain daripada ISLAM, maka Allah akan menjadikan kami hina “

Menjadi hamba kepada Allah = Mulia.

Menjadi hamba kepada manusia, sebagai contoh, wanita = Hina.

Formula ini Islam ajar kepada kita supaya maruah kita kekal di tempat yang sepatutnya dan tidak terjebak dalam kehinaan.

Namun menyedihkan apabila generasi pemuda hari ini ramai terpengaruh dengan doktrin karut di dalam sesetengah drama atau filem, sehingga mereka tidak sedar mereka telah terjebak dalam perhambaan kepada wanita atas nama ‘cinta’. Mereka kata cinta mereka suci, putih, bersih dan mulia. Tetapi mengapa maruah mereka akhirnya hanya menumpang di bawah kasut tumit tinggi sang wanita?



HAMBA SEBUAH CINTA

Saat hati terpaut kepada indahnya wajah seorang wanita, maka bisikan halus mula ‘mentarbiyah’ kononnya itulah cinta. Cinta yang harus diperjuangkan sehingga mati. Walaupun hakikatnya, dia sendiri jahil tentang siapakah insan yang telah Allah tentukan untuk dia sebagai isteri. Dia tidak langsung tahu. Tetapi atas nama cinta – kononnya – maka dikejar si wanita biar apa sekalipun yang menimpa.

Dia sanggup buat muka tebal ‘mengayat’ si wanita, walaupun tidak dilayan. Dia sanggup buat muka tebal, walaupun kerapkali diherdik dan dimarahi. Dia sanggup buat muka tebal, biarpun si wanita telah berulangkali mengucapkan ; aku tidak suka sama kamu. Dia sanggup terus-terusan bermuka tebal dan melakukan pelbagai usaha hinggalah si wanita berkata ; engkau ni tak faham-faham bahasa ke?

Soalnya, apa yang kau perjuangkan wahai pemuda?

Cinta? Mana engkau tahu itu adalah cinta? Siapa yang mengajarmu bahawa itulah dia cinta?

Cinta pandang pertama? Apa yang menusuk hatimu saat pandang pertama? Iman atau Syahwat?

Atau engkau benar-benar yakin bahawa dia tercipta untukmu?Dari mana pula datang keyakinan tersebut?Dari mana engkau membaca kitab yang di dalamnya tercatat kemas Qadha dan Qadar Allah? Dari mana engkau tahu segala rahsia dan ketetapan Allah?

Kalau engkau mendakwa engkau benar-benar tahu, maka adakah engkau juga tahu tentang bila sampai waktu ajalmu?Engkau boleh tahu semua itu?

Ternyata tidak. Engkau tidak tahu apa pun. Bahkan apa yang engkau follow hanyalah gerak hatimu sahaja. Engkau terpikat dengan si wanita atas beberapa sebab dan engkau mahu memiliki jiwa tersebut, namun itu bukan hujah yang cukup kuat untuk mendakwa dia memang adalah JODOH engkau!



BATASAN USAHA

Engkau hanya boleh menjawab : Saya mahu, dan saya akan berusaha semaksima yang saya mampu.

Ok. Itu tidak ada masalah. Qadha Qadar telah tertetap, tetapi usaha tetap perlu dilakukan. Bahkan manusia dituntut supaya berusaha semaksima mungkin. Jadi, silalah berusaha.

Tetapi anda kena ingat.

Berusaha itu, ada batasannya. Batasan ini tidak boleh dilanggar, padah akibatnya.

Hujung tahun ini ada peperiksaan SPM. Penentu hidup mati. Lalu anda berusaha setengah mati. Targetnya mesti berjaya masuk universiti. Usaha dan terus usaha. Hari penentu tiba, dan keputusan anda biasa-biasa. Gagal pula masuk ke universiti. Maka apa respon anda? Apa tindakan anda? Putus asa? Bunuh diri? Maki takdir?

Itulah namanya had atau batasan dalam berusaha. Apa yang tinggal adalah sabar dan redha. Tanpa sabar dan redha, manusia boleh jadi gila!



CONTOH GILA

Maruah diri dicampak ke tepi, kehendak wanita diagung tak bertepi. Ketika mahu berusaha mendapatkan si wanita, ketentuan Allah seolah tiada dalam kamus diri. Apa yang ada cuma desakan hati, apa sekalipun yang terjadi, dia tetap akan aku miliki.

Anda malang jika beriman dengan filem dan drama.

Dalam filem, mereka mahu anda percaya bahawa dengan memijak maruah anda sendiri, anda boleh berjaya menawan hati sang bidadari. Tetapi di alam realiti, tanpa maruah diri anda akan terus dihina dan dikeji! Wanita mana yang mahukan seorang lelaki yang tidak pandai menghormati maruah diri sendiri?

Usaha, ya usaha. Tetapi jangan sampai anda jadi gila. Jangan langgar batasan usaha sebagai manusia bertaraf hamba. Anda bukan penentu sebuah takdir. Anda hanya mampu berusaha, berdoa, bertawakkal seterusnya wajib sabar dan redha.

Firman Allah ta’ala :

ولئن صبرتم لهو خير للصابرين

Dan sekiranya kamu bersabar, maka itu adalah yang terbaik bagi orang-orang yang sabar.



MARUAH LELAKI BERPRINSIP

Sebagai lelaki, kita akan melamar wanita. Itu kaedah asas. Cuma satu perkara yang perlu kita fahami dengan jelas, iaitu : dengan melamar seorang wanita, ia tidak menjadikan kita kerdil mahupun hina.

Melamar wanita- apatah lagi dengan tujuan pernikahan yang mulia – bukan seperti pengemis jalanan yang sifatnya suka meminta-minta. Mereka dihina dan dipandang keji oleh manusia. Tetapi anda, sebagai lelaki, sebagai pemuda, anda meminta seorang wanita bukan untuk dipandang keji dan hina.

Anda WAJIB menjunjung maruah sebagai lelaki yang berprinsip. Itu ajaran agama kita, ISLAM. Tidak ada mana-mana bahagian dalam agama kita yang mendorong kita menjadi pemuda yang tandus maruah dan ke-‘izzah-an. Sebaliknya ISLAM memandang tinggi himmah dan jatidiri yang ada pada seorang pemuda.

Pepatah arab menyebut : Himmah seorang lelaki boleh meruntuhkan sebuah bukit.

Jadi secara asas, anda berhak untuk melamar mana-mana wanita yang anda suka, tetapi maruah sebagai lelaki tetap perlu dijaga. Apakah tindakan-tindakan yang selalu meruntuhkan maruah anda?

Antaranya ; bermuka tebal atau membuang sifat malu. Konon gentleman. Tetapi gentleman jenis apa kalau si wanita sudah terang-terang memberikan reaksi dia tidak suka kepada kita, tetapi kita masih menyuakan muka kepada dia?

Ada pula orang cakap ; kalau tak buat macam tu, macam mana nak tackle si wanita?

Teman, kerana itulah saya acapkali menyebut tentang peranan orang tengah dalam lamaran. Sedikit sebanyak, orang tengah ini membantu anda mengekalkan maruah anda di tempat yang sepatutnya. Jika si wanita menyatakan penerimaan, maka anda beroleh jawapannya. Sebaliknya jika wanita mahu menolak, anda juga merasa diri dihargai dan tidak terhina.

Ini kerana lamaran anda disampaikan dengan baik oleh orang tengah, diminta jawapan dengan tulus dari si wanita, seterusnya diberikan jawapan terbaik kepada anda.

Jika anda seorang yang mempunyai prinsip dan ada maruah, anda akan meneruskan usaha anda mencari calon demi matlamat sebuah pernikahan. Jika betullah pernikahan yang anda kejar, maka anda tidak akan terdetik pun untuk mencampakkan maruah anda atau membiarkan maruah diri anda sebagai pemuda dilenyek-lenyek di bawah tapak kaki seorang wanita.

Anda akan tegas.

” Saya sebagai pemuda, datang melamar dengan cara yang paling baik, dan saya jujur dengan hasrat saya mahu memperisterikan saudari. Sekiranya saudari terima, maka kepada Allah saya pulangkan segala kesyukuran. Sekiranya tidak, maka saya terima penuh redha dan akan tetap meneruskan usaha sehingga Allah hadirkan insan yang sebenarnya untuk saya. ”

Lihat. Adakah maruah anda berpeluang diinjak-injak? Perlukah sehingga ada babak bermandi hujan depan pagar rumah, atau diludah dimaki?



KEJAR PERKARA MULIA DENGAN CARA YANG MULIA

Sebagai akhir, saya mahu mengajak anda sekalian pemuda untuk memikirkan kembali hayat kita sebagai hamba kepada Yang Maha Berkuasa. Pernikahan, adalah salah satu jalan yang kita pilih demi menjadikan kita sebagai hamba yang benar-benar hamba. Nikah bukan matlamat hidup, sebaliknya matlamat hidup kita adalah redha Allah. Itu yang kita kejar sehabis daya dengan baki waktu kita bernafas di dunia.

Kita bukan mengejar redha seorang wanita. Setelah bernikah sekalipun, perjuangan kita untuk mendaulatkan agama Allah tetap akan diteruskan tanpa henti. Perjuangan kita demi mencapai redha Allah dan syurga kekal abadi tetap akan diteruskan tanpa jemu. Adapun pernikahan, maka kita yakini sebagai satu perkara mulia yang diharapkan lebih mendokong kita dalam mencapai matlamat hidup kita di dunia dan akhirat.

Justeru, jika betullah pernikahan yang mulia itu yang kita kejar, maka wajarkah kita sampai kepadanya dengan cara yang kotor dan tidak bermaruah? Ingat, benda mulia hanya akan diperolehi dengan cara yang mulia. Maka jadilah seorang pemuda yang tinggi himmah serta maruah diri, dan tidak mudah diperkotak katikkan atas nama ‘cinta’ semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan