Pencemar asli
Bahan kimia pencemar dalam bentuk gas daripada letusan gunung berapi adalah terdiri daripada sulfur dioksida, hidrogen sulfida dan metana. Kebakaran hutan yang besar juga membebaskan bahan kimia asli dalam bentuk jerebu, asap, gas dan abu yang mengandungi karbon monoksida, nitrogen oksida, hidrokarbon dan lain-lain. Pada tahun 1997, pencemaran alam telah berlaku di negara kita, Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Filipina akibat kebakaran besar hutan di Indonesia dan telah menyebabkan ramai orang mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit berkaitan sistem pernafasan.
Aflatoksin
Aflatoksin adalah racun yang dihasilkan oleh fungi seperti Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus yang tumbuh pada tumbuh-tumbuhan dan bijirin terutama di negara- negara Afrika, Asia Tenggara dan Selatan China. Aflatoksin boleh menyebabkan kanser hati.
Mikotoksin/fungi
Seperti bakteria, mikotoksin mampu memberi kesan keracunan teruk ke atas manusia. Contoh-contoh famili mikotoksin adalah Aflatoksin, Trikotesin, Zearalenon, Fumonisin, Okratoksin dan Slaframin. Mikotoksin yang merbahaya selalunya dari tiga jenis genera iaitu Aspergilius, Fusarium dan Penicilium. Mikotoksin boleh menyebabkan gangguan sistem saraf pusat, kerosakkan hati dan buah pinggang. Terdapat spesis yang hanya menyebabkan muntah.
Antraks
Antraks menjadi isu hangat masa kini berikutan meningkatnya bilangan jangkitan dan kematian di Amerika. Antraks disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang menjangkiti seseorang melalui sentuhan kulit, memakan makanan yang tercemar dan pernafasan.
Botulisma
Botulisma ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Clostridium botulinum yang mengeluarkan protein beracun adalah neurotoksin. Simtom keracunanya adalah sakit perut, muntah, sukar mengawal pergerakan, lumpuh, penglihatan yang tidak jelas, kesukaran bernafas dan seterusnya kematian.
Keracunan ini pernah dilaporkan pada tahun 1987 di New York dan Israel kerana termakan sejenis ikan masin, Kapchunka yang dicemari oleh toksin botulinal jenis E.
Bakteria
Bakteria sangat mudah merebak dan menyebabkan jangkitan serta keracunan yang meluas. Bakteria selalunya dikaitkan dengan keracunan makanan akibat tidak mengamalkan kebersihan. Keracunan terjadi apabila bakteria memasuki makanan dan seterusnya merebak atau membiak di dalam usus dan ini dipanggil jangkitan bawaan bakteria, contohnya Salmonella. Bakteria juga menyebabkan keracunan melalui pengeluaran toksin semasa di dalam usus, contohnya Botulisma.
Sianogen
Tragedi keracunan beramai-ramai yang pernah dilaporkan di Venezeula dan Tanzania dalam tahun 1988 akibat memakan ubi kayu. Ubi kayu diketahui mengandungi sianida dari jenis sianogenik glikosida. Lain-lain bahan kimia yang boleh menyebabkan keracunan adalah dari jenis perencat enzim, glukosinolat, asid amino, protein, peptid, lipid dan saponin beracun.
Ular
Ular memang digeruni oleh ramai orang kerana bisanya boleh membunuh. Di Malaysia, ular-ular berbisa adalah dari jenis ular kapak, katam tebu, laut dan tedung. Bisa ular mengandungi bahan kimia atau toksin dari jenis protin atau peptid yang boleh menyebabkan kesan berikut:
Merosakkan sel-sel darah dan salurdarah
Menghalang pembekuan darah dan menyebabkan pendarahan yang berterusan
Membekukan darah dan menyebabkan saluran darah tersumbat (thrombosis)
Merosakkan sistem saraf dan otot lalu menyebabkan kegagalan fungsi pernafasan, dan jantung serta lumpuh.
Lain lain haiwan beracun adalah seperti
Ikan. Contoh ikan pari, depu (stone fish), lepu (scorpion fish), semaram dan buntal
Serangga. Contoh, semut, lebah, tebuan, labah-labah, kala jengking
Obor obor laut yang mampu menghasilkan racun jenis saxitoksin dan tetrodotoksin.
Allergen
Allergen biasanya terdapat dalam getah dan daun pokok. Kehadiran bahan ini boleh menyebabkan peradangan kulit (dermatitis), mata dan lapisan membran. Di antara tumbuh-tumbuhan yang mengandungi allergen adalah pokok Lipan (Pedilanthus tithymaloides) dan pokok Duit (Epipremnum aureum).
Alkaloid
Alkaloid biasanya terdapat di bahagian akar, biji, daun dan kulit pokok. Di antara tumbuhan yang terlibat adalah daripada famili Amaryllidaceae, Buxaceae, Compositaea, Euphorbiaceae, Leguminosae, Liliaceae, Loganiaceae, Papaveraceae, Rananculaceae dan Solanaceae.
Biasanya alkaloid meracuni sistem saraf dan boleh menyebabkan kehilangan koordinasi, sawan, sakit perut, muntah dan cirit-birit. Terdapat juga alkaloid yang boleh menyebabkan kerosakan hati
Tumbuhan
Dewasa ini terdapat ramai orang yang cenderung untuk mengamalkan perubatan tradisional berasaskan tumbuh-tumbuhan sebagai alternatif kepada perubatan moden apabila mengalami sesuatu masalah kesihatan. Terdapat pelbagai tumbuhan yang telah dikomersialkan pada masa kini, seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tetapi satu kajian yang mendalam harus dilakukan sebelum sesuatu tumbuh-tumbuhan itu hendak dicanangkan keberkesanannya.
Di negara kita, terdapat banyak tumbuh-tumbuhan beracun antaranya adalah Cempaka hutan, Beridin, Dokong Anak, Jarak, Kechubong, Hempedu bumi dan sebagainya. Tumbuh-yumbuhan beracun ini mampu memberi kesan keracunan melalui sentuhan atau termakan kerana kandungan bahan kimia
Selenium
Selenium terdapat dalam batu batan dan tanah dalam bentuk campuran dengan mineral lain seperti sulfida, perak, kuprum dan nikel. Di China, penggunaan tanah yang mengandungi kandungan tinggi selenium untuk tujuan pertanian telah menyebabkan kandungan yang juga tinggi dalam sayuran dan seterusnya kejadian keracunan yang di gelar selenosis. Kandungan selenium dalam darah penduduk di kawasan tersebut di laporkan dalam sekitar 3,200 ppb berbanding dengan paras normal iaitu 95 ppb.
Lain lain mineral seperti asbestos, kromium, plumbum , kuprum, aluminium, raksa, nikel dan sebagainya boleh juga menyebabkan keracunan pada manusia.
Kadmium
Kadmium boleh didapati di dalam tanah secara semula jadi terutama dari letusan gunung berapi. Kadmium wujud bercampur dengan bijih seperti zink, plumbum dan kuprum. Ianya juga wujud sebagai kadmium oksida dan kadmium sulfida. Kadmium boleh diserap oleh tumbuh-tumbuhan daripada air di sekelilingnya. Kejadian keracunan akut akibat kadmium telah di kesan di Jepun pada tahun 1955 dengan kewujudan penyakit Itai-itai iaitu kesakitan yang teruk yang dirasai di seluruh badan dan tulang yang mudah patah. Penyakit tersebut terjadi akibat memakan beras dan air perigi yang tinggi kandungan kadmium dari kawasan yang berhampiran dengan lombong kadmium.
Arsenik
Arsenik dibebaskan ke udara sebagai hasil sampingan dari aktivi perleburan bijih, proses pengeluaran racun makhluk perosak dan kaca. Namun demikian arsenik juga boleh di dapati semulajadi dalam kerak bumi. Arsenik di dalam tanah selalunya berupa bijih seperti arsenopirit (FeAsS) atau orpiment (As4S6) dan mampu meracun air di sekitarnya. Arsenik dalam laut yang dapat dikesan dalam hidupan laut adalah dari jenis organik dengan kepekatan 0.2 hingga tujuh miligram per kilogram dan tidak memberi kesan buruk pada kesihatan manusia. Arsenik jenis inorganic adalah merbahaya dan telah dikesan dalam air perigi dan tasik. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan kadar selamat arsenik inorganik ini sebagai 0.01 mg/l. Namun, beberapa negara di dunia di dapati mempunyai paras arsenik yang sangat tinggi dan ada yang melebihi 200 kali ganda. Pernah dilaporkan kejadian penyakit kaki hitam di satu kawasan penempatan penduduk di Chile dan Bangladesh.
Air perigi
Paras Arsenik (mg/l)
Taiwan
1.8
Hungary
> 0.1
India
> 0.05
Mexico
> 0.4
USA
> 0.1
Fluorida
Fluorida penting bagi pertumbuhan gigi yang sihat namun paras yang tinggi akan menyebabkan penyakit fluorosis atau kerapuhan pada gigi dan tulang. Fluorida di dapati secara semulajadi di dalam tanah, air, udara dan tumbuhan. Biasanya kandungan fluorida dalam air perigi, sungai dan tasik adalah di bawah paras 0.5 mg/liter. Paras yang tinggi biasanya dikesan di kaki gunung dan kawasan yang geografinya berasal dari enapan hidupan laut. Fluorida dalam air dikesan dengan kepekatan tinggi di negeri-negeri seperti Tanzania, Syria, Jordan dan China. Manakala paras tertinggi dikesan pada kepekatan 2.8 g/liter adalah di Tasik Nakuru di Kenya. Paras fluorida dalam air yang selamat ialah di antara 0.5 hingga satu miligram per liter. Fluorida boleh didapati dalam batu-batu seperti fluorspar, kriolit dan apatit atau batu-batu fosfat. Di udara, fluorida boleh dikesan melalui aktiviti letusan gunung berapi atau aktiviti manusia seperti pengeluaran baja fosfat dan lain-lain. Fluorida juga boleh didapati dalam tumbuh-tumbuhan seperti keladi, daun teh dan ubi kayu terutama di Amerika Selatan dan Pasifik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan