HUKUM SEGERA BERBUKA PUASA
Apakah yang disunatkan semasa berbuka puasa?
.
1. Segera berbuka puasa iaitu sebaik sahaja diyakini terbenam matahari
atau masuk waktu maghrib. Sabda Nabi s.a.w.; “Senantiasalah umatku
berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan
sahur” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.)
.
Menjadi sunnah Nabi s.a.w. berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan
solat. Anas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. berbuka dengan
beberapa butir tamar basar sebelum baginda menunaikan solat maghrib.
Jika tidak ada tamar basah, baginda berbuka dengan tamar kering. Jika
tidak ada sebarang tamar, baginda berbuka dengan meminum beberapa teguk
air”
(HR Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh)
.
Melambat-lambat berbuka puasa hukumnya adalah makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat dielakkan.
.
2. Disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma basah. Jika tidak ada,
dengan buah kurma kering. Jika tidak ada buah kurma, disunatkan berbuka
dengan air. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa memperolehi buah tamar/kurma
maka berbukalah dengannya. Sesiapa yang tidak memperolehinya, maka
berbukalah dengan air kerana ia adalah penyuci”
(Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.)
.
3. Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya. Di antara doa yang dibaca oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka ialah;
.
"Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku berbuka”
(Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dari Mu’az bin Zuhrah).[1]
.
اَللَّهُمَّ ذَهَبَ الظَّمأُ، وابْتَلَّتِ العُرُوقُ، وَثَبَتَ الأجْرُ إِنْ شاءَ اللَّهُ تَعالى“
.
Ya Allah! Hilanglah dahaga, basahlah seluruh urat tubuh dan tercapailah
pahala insya Allah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ad-Daruqutni, al-Hakim dan
Ibnu Sunni dari Abdullah bin Umar r.a.)[2]
.
4. Di antara adab yang digalakkan oleh ulama’ ketika berbuka puasa ialah
tidak berlebihan ketika menikmati makanan. Makanlah dengan kadar
sederhana sahaja, tidak terlalu banyak supaya tidak keletihan untuk
menunaikan ibadah malam nanti (solat terawikh, tadarus al-Quran dan
sebagainya). Kata ulama’; “Sesiapa yang kenyang di awal malam nescaya ia
akan ketinggalan pada baki malamnya”.
.
5. Sunat memberi makan atau minum kepada orang-orang yang berpuasa
sekalipun dengan sebiji kurma atau seteguk air. Namun yang lebih baik
ialah memberi makan sampai mengenyangkan mereka. Fadhilatnya ialah
sebagaimana sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang memberi makanan berbuka
puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang
berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun”
(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Zaid bin Khalid r.a.)
.
Dan disunatkan juga makan bersama dengan orang yang berpuasa dan cara seperti ini lebih baik bagi menunjukkan rasa rendah diri.
.
Nota:
.
[1]
Mu’az bin Zuhrah adalah Tabi’in. Oleh itu, hadis ini adalah mursal.
(Lihat; tahqiq Syu’aib al-Arnaudh dan ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh dalam
Zadul-Ma’ad, jil. 2, hlm. 51).
.
[2]Perawi-perawi
hadis ini adalah siqah (dipercayai). Oleh itu, hadis ini dapat dipakai.
(Lihat; tahqiq Syu’aib al-Arnaudh dan ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh dalam
Zadul-Ma’ad, jil. 2, hlm. 52).
1 comment:
firdausNovember 28, 2012 at 9:35 PM
-----------------------------------------
Hukum berbuka puasa lambat
------------------------------------------
Dalam kitab Sabilul Muhtadin Littafaquhi Fi Amriddin, – bagi Asy-Syaikh Muhammad Arsyad Ibnu ^Abdullah Al-Banjariy, makruh melewatkan berbuka puasa apabila telah yakin masuk waktunya.
Huraian : Tempat makruh itu adalah apabila seseorang yang berpuasa itu melambat-lambatkan berbuka dengan beri'ttiqad bahawa ada kelebihan/fadhilat tertentu dengan sebab menambah waktu berbuka. Dan jika sekiranya dia melewat-lewatkan berbuka dengan tiada beri'ttiqad demikian itu semata-mata, maka tiada mengapa ia melewat-lewatkan berbuka.
Hukum berbuka puasa lambat
------------------------------------------
Dalam kitab Sabilul Muhtadin Littafaquhi Fi Amriddin, – bagi Asy-Syaikh Muhammad Arsyad Ibnu ^Abdullah Al-Banjariy, makruh melewatkan berbuka puasa apabila telah yakin masuk waktunya.
Huraian : Tempat makruh itu adalah apabila seseorang yang berpuasa itu melambat-lambatkan berbuka dengan beri'ttiqad bahawa ada kelebihan/fadhilat tertentu dengan sebab menambah waktu berbuka. Dan jika sekiranya dia melewat-lewatkan berbuka dengan tiada beri'ttiqad demikian itu semata-mata, maka tiada mengapa ia melewat-lewatkan berbuka.